Saturday, May 2, 2009

Anakku Autistm - 2



Mamat dan Jeena bermain basikal di halaman rumah.
Jeena merupakan kawan bermain yang paling sporting juga pasangan bergaduh yang tak kurang hebat disamping menjadi guru yang paling banyak mengajar Mamat mengenali dunia luar dari kepompong autisnya.

Disebabkan penyakit Mamat ini menyerang setiap tengah hari, aku dan suami menjangkakan mungkin sakit ‘kampung’ dan kami membawa Mamat berubat pada pengamal-pengamal perubatan tradisional dan orang-orang alim.Seterusnya kami membawa Mamat ke klinik demi klinik apabila tiada perubahan positif. Dan setiap kali ke klinik, Mamat akan diberi ubat yang sama iaitu ubat selsema, muntah dan angin akibat terlalu banyak menagis. Setelah dua minggu berlalu kami membawa Mamat ke Ipoh Specialist Centre. Ketika kaki aku melangkah masuk ke bilik Dr. Adline, Pakar kanak-kanak di situ, Mamat mengalami serangan saraf. Dr. Adline yang pernah berjumpa kes sebegitu, terus menyuruh aku membawa Mamat membuat ujian EEG untuk mengesahkan kesihatan saraf Mamat. Dr. Adline mengesahkan yang Mamat mendapat serangan saraf yang dikenali sebagai ‘West Syndrome ’ dan diklasifikasi sebagai ‘Salam Attack’

Mamat disarankan untuk dimasukkan ke ICU yang belanja untuk bedding saja RM1000 sehari tidak termasuk ubat dan lain-lain rawatan. Dr. Adlin menganggarkan Mamat akan ditahan sekurang-kurangnya seminggu untuk menentukan jenis ubat yang akan diberikan kepada Mamat. Aku mohon untuk dimasukkan ke Hospital Ipoh memandangkan pembiayaan yang tinggi itu tidak menjamin kesembuhan total unyuk Mamat. Dr. Adline seorang doktor yang sangat perihatin dan professional. Dia menelefon Hospital Ipoh memastikan Katil di ICU telah disediakan untuk Mamat, barulah kami dibenarkan ke sana.

Setelah dirawat selama lapan hari di Hospital Ipoh, Mamat di benarkan keluar dengan beberapa temu janji dengan pakar perkembangan kanak-kanak, pakar mata, pakar ENT dan lain-lain ujian juga mengabil ubat-ubat mengikut suatan dan masa. Sejak itu hospital merupakan rumah kedua bagi Mamat. Dan apa yang menyesakkan fikiran aku ialah sebelum keluar doktor di situ mengatakan Mamat buta dan pekak. Enam bulan selepas itu berulang alik ke pakar mata menjalani pelbagai ujian barulah mamat disahkan tidak buta, cuma hilang ‘eye-conteck’.

Setelah keluar dari Hospital Ipoh aku berjumpa lagi dengan Dr. Adline dan dia menasihati aku berjumpa pakar kanak-kanak dan pakar saraf yang ketika itu ada empat orang sahaja di Malaysia. Aku telah memilih Prof. Ong Lai Chu yang berkhidmat di HUKM memandangkan lokasi hospital lebih familiar. Beliau telah sekali lagi membuat temujanji untuk aku dengan pakar berkenaan. Bagaimana pun bukan mudah untuk berjumpa pakar di hospital kerajaan. Setelah menunggu setahun lebih dan setelah berjumpa doktor-doktor pakar yang lain barulah aku dapat berjumpa dengan Profesor tersebut. Melalui beliau aku difahamkan tiada ubat untuk autism yang ada hanyalah latihan. Bayangkanlah, begitu lama aku menunggu untuk berjumpa seorang pakar untuk mencari ubat bagi anak aku namun apabila berjumpa .........Bagaimanapun pakar lebih tahu daripada aku. Aku patuhi apa saja yang dianjur oleh mereka. Mamat disarankan menjalani terapi pulih kerja di PDK yakni Pusat Dalam Komoditi di Parit, selain daripada terus berjumpa pakar perkembangan kanak-kanak.

Sepanjang membesarkan Mamat aku belajar mengenali autism. Dan ketika aku sambung belajar ini jika ada peluang mengkaji tentang autism ini aku tak lepaskan peluang . Melalui Assigment komunikasi semester lepas, aku buat tentang tajuk autism. Rupa-rupanya autism bukan sejenis penyakit tetapi merupakan kecacatan. Itulah sebabnya professor tersebut mengatakan tiada ubat untuk autistic tetapi tingkah laku mereka perlu dilatih. Aku teringat bagaimana aku melatih Mamat untuk membuat ‘hubungan mata’ dengannya. Setiap kali aku memanggil namanya aku akan palingkan kepalanya mengadap ke mukaku sehingga matanya merenung ke mataku. Begitu juga yang aku anjurkan kepada ayah dan adik-beradik Mamat yang lain. Tetapi latihan ini memerlukan kesabaran dan masa yang panjang. Hasilnya sekarang kalau kita memanggil namanya yang berada selang dua atau tiga bilik dia akan menyahut dan berlari mendapatkan kita untuk hubungan mata.

Selain itu masalah besar untuk orang-orang autism ini ialah masalah pertuturan. Dia sukar untu menuturkan kata-kata. Ketika berumur hampir tiga tahun Mamat hanya tahu menyebut mak, itu pun untuk semua perkara yang ia maksudkan. Puaslah diajar ia bercakap tapi memang menglami kesukaran. Untuk mendapatkan perkhidmatan terapi pertuturan agak sukar kerana bilangan mereka memang terhad. Apabila aku dan anak-anak berpindah ke sini mengikut suami pada tahun 2005, Mamat berpeluang mendapat perhidmatan terapi pertuturan di HUKM. Masa itu perbendaharaan kata Mamat belum sampai sepuluh perkataan lagi. Lebih kurang dua tahun selepas itu Mamat menunjukkan perkembangan yang positif dan dalam tempuh tersebut dia tidak perlu mengikuti terapi pertuturan lagi. Walaupun pada permulaannya dia hanya sebagai ‘parrot’ mengajuk cakap atau ayat yang didengarnya namun kini Mamat sudah boleh melahirkan isi hatinya. Satu hari ketika kami berehat-rehat di ruang tamu Mamat berkata, “Cepatlah ayah, naik kereta. Mamat nak pegi taman mainan”.

Sesuatau yang aku perhatikan tentang Mamat ia tidak mengeluarkan perkataan pelat seperti kanak-kanak lain. Walaupun ia susah untuk berkata, perkataannya jelas dan tepat sebutannya. Banyak lagi insiden-insiden lucu, cemas dan pelbagai rasa membesarkan Mamat. Jika berpeluang akan aku kisahkan nanti....Insyaalah.

No comments:

Post a Comment